Make your own free website on Tripod.com

Wawancara dengan Dato’ Ismail Jantan
pada 29 Januari 2000, bertempat di Hotel Dynasty, Kuala Lumpur

Pelajaran Gayong:

Tapak 7 (21 semasa disusun oleh Ahmad Lazim)

Pecahan Tapak 49 (setiap gurulatih akan pecahkan lagi: 7 x 7 x 7)

Seni Keris (senjata pertama dipelajari kerana menjadi lambang Melayu – adat dahulu, bunuh musuh dengan keris tidak akan didakwa tetapi dengan senjata lain akan didakwa)

Seni Pisau

Seni Tongkat

Seni Parang Panjang

Seni Simbat Panjang (Tembung)

Seni Lembing (atau Tombak)

Seni Anak Tombak (dua bilah di kiri dan kanan)

Seni Yoi

Seni Rajawali


Gaya Serangan Rajawali

Seni Belian (Serangan Bapak Harimau); seni sendi; boleh lumpuhkan lawan jika terkena; permainan sangat berbahaya(sangat jahat)

Seni Cindai (Jantan dan Betina)

Cindai Jantan – permainan lebih kepada melibas/memukul; tidak perlu dipintal-pintal lagi.

Cindai Betina – permainan lebih kepada jerut- menjerut leher lawan

Gada-gada – rantai 20 hasta dengan terdapat sebiji batu pemberat di hujung-hujungnya (dari sebesar bola pingpong hingga sebesar bola lontar peluru); boleh memukul lawan yang berlindung/menyorok di sebalik pokok.

Mayang Gesit – senjata baling yang diperbuat daripada besi; dahulu digunakan oleh kaum hawa dan diletakkan di anak sanggul; juga dipakai di pangkal lengan oleh anak-anak Raja Jawa(diikat bersama bulu ayam); boleh tembusi cermin kereta.

Seni Selayang Pandang – sekarang telah kurang diajar/dikupas.

Tekpi – senjata tersendiri (bukan pecahan parang)

Pedang-Perisai – pecahan; sekarang kurang diajar kerana masalah sukar membuat perisai kayu

Sundang – penglihatan 5 arah(dua hadapan, tiga belakang)

Dahulu, sebelum dapat bengkung hitam, di Singapura kena uji tikam sehingga tembus (dengan jejari tangan) pintu kayu rumah awam kerajaan (3 lapis plywood). Latihan untuk keraskan tangan – menggoreng kopi dengan tangan sambil membaca wirid selama 100 hari sehingga kopi boleh ditumbuk dan diminum(satu jam setiap hari; 7 hari pertama memang panas).

Cikgu Ismail selalu berskuter atau menumpang lori sayur untuk pergi ke Taiping pada hujung minggu(takut terlambat sampai). Dato’ Meor hanya layan guru-guru regular yang datang ke rumahnya. Kalau murid Gayong sahaja tidak akan diperturunkan pelajaran baru.

Bengkung Hitam – main Belian, Cindai, Sundang, pelajaran isim-isim

Pelajaran hitam penuh dengan isim-isim. Pelajaran tertinggi – Isim Budu (ilmu Gayong).

Isim Budu ada pada Mat Kilau dan keturunannya. Pengamal isim budu boleh gelegakkan darah pada jantung lawan dan jika tenung mentol lampu, mentol lampu boleh pecah. Untuk ambil amalan, kena berpuasa dahulu (patigeni).

Pelajaran satu lawan lima(ujian Kuning) ada diajar petua-petuanya.

Free-sparring 1 lawan 1-3 (ambil Merah)

Free-sparring 1 lawan 3-5 (ambil Kuning)

Free-sparring 1 lawan 10 (ambil Hitam)

Dato’ cukup tak suka murid-murid datang lambat. Kalau Dato’ sudah berada di gelanggang, murid perlu telah bersedia di gelanggang. Hukuman yang dikenakan sangat berat jika lambat. Misalnya, disuruh angkat dan julang tayar kereta api. Kalau Dato’ turun dengan pakaian silat yang lengkap, alamatnya latihan akan berlanjutan sejam hingga lebih. Murid-murid akan mengeluh panjang. Kalau Dato’ pakai smart, buah yang diperturunkan Cuma 1-2 sahaja. Murid-murid akan berasa lega. Dato’ suka sparring dengan murid berbadan sedap seperti Cikgu Zainal Badak. Dato’ buat kunci sampai murid lembik dan terjelir lidah. Murid tidak boleh kata sakit, nanti lagi teruk kena kunci. Murid-murid lain yang sedarkan Dato’ bahawa murid yang dikuncinya sudah biru muka dan sudah nak pengsan. Dato’ kalau buat kunci sambil bercerita. Beliau tidak melihat kesan kunciannya ke atas murid beliau.

1976 – Cikgu Ismail terima bengkung hitam di Taiping(beliau diuji di Singapura). Sebelum dapat bengkung, Dato’suruh diuji dahulu ikut seperti kehendak Dato’. Dato’ suruh dua orang murid ambil lembing dan serang Cikgu Ismail secara spontan. Dato’ akan uji sampai berpuas hati.


Allahyarham Dato' Meor Rahman sedang menjalankan
istiadat sebelum menyerahkan bengkung Hitam
Harimau Pelangi Cula Sakti kepada Cikgu Ismail.

Untuk ambil bengkung hitam kena lawan 10 orang (pemegang bengkung merah). Orang yang dilawan sparring(10 orang) merupakan orang yang dilatih untuk sparring (badan sedap).

Di Batu Pahat, buat demo 10 orang menarik tali yang dililit ke leher seorang murid Gayong, badan digelek kereta, terjun atas kaca.

Di Batu Pahat, selepas mandi minyak, Pak Hussain Kaslan suruh Ismail berlawan dengan 40 orang murid Gayong. Ismail berdoa minta diserupai dengan benda yang tidak pernah dilihat manusia. Murid-murid bertempiaran lari apabila Ismail dilihat seperti berbadan harimau dan berkepala naga. Berkuku seperti pisau dan bertaring panjang sehingga terjulur keluar.


Cikgu Ismail(kiri) semasa istiadat mandi minyak.

Mat Kilau dan Datuk Bahaman adalah murid Tok Janai. Tok Janai ialah seorang ulama. Ulama dahulu berperanan seperti pemimpin.

Sekolah Gayong Singapura – Dato’ ingin perkenalkan Gayong ke seluruh dunia (ingin buat seperti Universiti Bushido di Jepun, iaitu kurikulum pembelajarannya hanya Gayong sahaja.) Tetapi kurang mendapat sambutan daripada anak Gayong.

Pelajaran Selayang Pandang dan Rajawali perlu dikupas lagi, bukan tersimpan di dalam Gerakan Rajawali sahaja. Pemegang bengkung merah mesti mampu mengupas silibus.

Ayat Sembilan – hanya diperturunkan selepas cukup 70,000 kali Qulhuwallah. Amalkan baca sebanyak 313 kali.

Zikir depan lilin, minta hajat untuk jumpa sesiapa sahaja. Misalnya, pahlawan dahulukala seperti Laksamana Hang Tuah.

Cikgu Nordin hanya kembali ke Malaysia pada tahun 1972. Cikgu Ismail belajar daripada Pak Hussain Kaslan selama 5 tahun.

Pecah batu atas dada – ada wirid; kena puasa. Bila berwirid, badan akan rasa kebas-kebas di seluruh badan.

Terdapat 17 jenis senjata yang pernah dipelajari oleh Cikgu Ismail.

Senjata Gayong – macam anak tombak tetapi mata bersarung.

Senjata sulit – besi tajam diselit di celahan-celahan kain dan dijadikan sebagai perisai lengan.

Cara tangkis sisi – tangan dibuka (bukan digenggam) dan buku lima ibu jari menjadi senjata.

Pelajaran tangan kosong dan senjata telah habis diperturunkan pada penghujung 1970-an. Cuma tinggal isim sahaja.

Cikgu Majid banyak pelajaran; walaupun buka silat baru tetapi cuma isim tak banyak.

Dato’ pernah uji murid kesayangan dan terus diberi Hitam IV. Selepas itu baru Dato’ beri wirid/isim untuk amalan muridnya. Dato’ suruh tulis isim-isim. Pada 1980-an, Dato’ banyak perturunkan isim-isim.

Pengalaman Tempur Cikgu Ismail:

(1) Seorang murid Cikgu Ismail telah disamun oleh sekumpulan samseng India. Muridnya ini telah mengadukan hal berkenaan kepada Cikgu Ismail. Cikgu Ismail bersama-sama dengan empat orang muridnya(bengkung merah) kemudian berkereta mencari samseng India tersebut. Setelah ditunjukkan oleh muridnya yang disamun tersebut, Cikgu Ismail berhasrat untuk bertindak sendirian. Tetapi murid-muridnya telah meminta izin beliau untuk mengambil bahagian sama. Cikgu Ismail mengambil keputusan supaya keempat-empat muridnya itu sahaja yang pergi bersemuka dengan lapan samseng India tersebut. Ismail hanya duduk memerhatikan sahaja daripada cermin pandang belakang(rear mirror) keretanya. Perlawanan yang berlangsung tidak sampai lima minit itu telah mengecewakan murid-murid beliau. Mereka berasa tidak puas bertempur. Walau bagaimanapun, murid-muridnya telah mendapat pengalaman tempur yang berharga.

(2) Ketika sedang bermotosikal (kapcai), Cikgu Ismail telah dipotong oleh 3-4 orang remaja Cina yang bermotosikal. Mereka kemudian asyik berlegar-legar di sekeliling Cikgu Ismail. Suatu ketika Cikgu Ismail telah terpandang sebuah basikal di sebuah kedai Cina yang terletak di tepi jalan. Kerana berminat untuk membelikan basikal tersebut untuk anaknya, beliau telah memberhentikan motosikalnya secara mengejut. Hal itu menyebabkan pemuda-pemuda Cina yang mengekorinya terjatuh dari motosikal yang ditunggangi mereka. Tiga pemuda Cina tersebut naik berang dan telah menyerang Cikgu Ismail secara serentak. Dua daripadanya tumbang dan terperosok ke dalam longkang. Seorang Cina tua yang terlihat pergaduhan tersebut telah memarahi pemuda-pemuda Cina tersebut sambil berkata, “Lu semua bodoh punya olang. Lu enam olang pun kalau pukul, dia punya bulu roma pun tatak jatuh. Lu tatak nampak ke dia punya cara berdiri tapak. Kalau mahu masuk hospital, lu pukullah ini olang…” Cina tua tersebut kemudian berkata kepada Cikgu Ismail, “Ini semua bodo punya olang. Wa suda tua pun wa takut sama olang Melayu woo…”

Seni Belian – kalau kena, jangan bergerak. Nanti tersiat kulit.

Dato’ Meor dikhatamkan oleh Hang Tuah kerana tiada siapa yang boleh mengkhatamkannya kecuali orang yang lebih handal daripadanya atau yang setaraf dengannya.

Silat Harimau di Sabah, permainannya agak sama dengan Silat Seni Gayong. Silat tersebut khabarnya berasal daripada Daeng Menambun.

Penduduk asal Tanah Melayu, menurut kajian ahli sejarah dikenali sebagai bangsa naga, sebelum penduduk pribumi dikenali sebagai bangsa Melayu. Bangsa Melayu pada hari ini berasal daripada pelarian/penghijrah daripada kepulauan Indonesia. Melayu maknanya “lari”. Pengasas Singapura ialah seorang putera Jawa (Majapahit). Ahli sejarah telah menjumpai sebilah keris Majapahit di candi Prambanan yang berusia ribuan tahun. Keris ini sekarang tersimpan di Muzium Leiden, Belanda. Candi Prambanan telah wujud sejak 3500 tahun dahulu. Ini bermakna tamadun Melayu telah wujud sejak 3000 tahun lalu.

Cikgu Ismail mempunyai 10 orang anak (7 lelaki dan 3 perempuan). Lima daripada anak-anak beliau menuntut di IPT.

Cikgu Ismail ialah anak angkat Dato’ Meor. Anak Dato’ boleh perturunkan ilmu yang didapati kepada orang lain (diperturunkan sekali cara-cara hendak perturunkan kepada orang lain.) Misalnya, ilmu makan kaca. Kaca yang lebih akan disuruh murid memakannya sebagai syarat untuk ilmu makan kaca. Memakan kaca boleh mengurangkan kesan santau jika terkena.

Pemegang bengkung merah, kuning dan hitam akan diperturunkan amalan-amalan tertentu mengikut peringkat bengkung. Begitu juga dengan amalan “pasak tubuh”. Pasak tubuh adalah untuk menahan diri daripada tikaman, menahan diri apabila digelek kenderaan dsb.

Walaupun masih muda ketika itu, Cikgu Ismail dapat melihat pelajaran-pelajaran yang diperturunkan di woodlands, Singapura.

Sewaktu kombat hendak diajar kepada Angkatan Tentera Malaysia, Dato’ Meor akan perturunkan 21 buah kombat untuk disusun dan diselaraskan. Guru-guru Gayong terpaksa bersabar menghadapi penangan Dato’.

Cara Dato’ mengajar di Singapura, ketika sedang dalam perjalanan, bila dapat ilham terus berhentikan kenderaan. Masuk ke kawasan lorong sunyidan terus turunkan pelajaran kepada siapa yang ada dalam kereta. “Ini buah keris, ini kombat…”

Kombat perlu disudahkan dalam masa tiga saat. Semasa Dato’ turunkan kombat, kebiasaannya murid tak ramai waktu itu.

Dato’ pernah memakai pakaian bertulis “Allah-Muhammad”, ataupun kadang-kadang pakaian hitam sahaja tetapi lengkap dengan bengkung dan bersetanjak.

Bengkung dahulu panjang – enam hasta dan dua kali lilit. Hujungnya potongan lurus. Kemudian, baru diserongkan. Dahulu, sebelum ada bengkung, sesiapa yang telah mandi seni akan mengikat pinggang dengan lilitan kain hitam yang di hujungnya ada 7 jalur (sama seperti sandang).

Gayong ada kena-mengena dengan Hang Tuah? Mungkin tidak. Hang Tuah cuma mengkhatamkan Dato’ Meor. Gayong berasal dari Tanah Bugis.

Silat bawaan Mat Kilau ada isim budu.

Pertengahan tahun 1960-an, Cikgu Ismail tolong mengangkat barang-barang kepunyaan Dato’ Meor di stesen kereta api apabila Dato’ berpindah ke Taiping dari Singapura. Walau bagaimanapun, rumah Dato’ masih ada di Singapura. Dato’ selalu juga berulang-alik ke Singapura sehinggalah tapak rumahnya diambil oleh pemerintah Singapura. Dato’ Meor telah menjadikan Air Kuning sebagai Pusat Latihan Tertinggi PSSGM dan Serantau. Gelanggang Kota Sarang Semut dimajukan oleh Cikgu Majid Mat Isa. Dahulu, Tengku Kassim yang berusaha Gayong dimajukan di Kota Sarang Semut.

Sewaktu Mesyuarat Majlis Guru-gurulatih, Dato’ Meor akan mempengerusikan majlis. Dato’ bawa sundang dan cindai dan kedua-dua senjata ini diletakkan di atas meja. Murid-murid Gayong tidak berani untuk bersuara atau menentang pendapat Dato’. Dato’ akan melenting apabila pendapatnya disanggah. Biasanya beliau menghentak meja mesyuarat. Sewaktu mempengerusikan mesyuarat pertubuhan, Dato’ boleh berubah sikap. Beliau lebih bersikap lembut sewaktu mesyuarat yang melibatkan pertubuhan. Dato’ selalu bezakan kepentingan Majlis Guru-gurulatih dengan pertubuhan (PSSGM). Dato’ lebih tegas dalam soal pelajaran.

Dato’ kalau kita datang lambat jangan buat pasal. Dato’ cukup marah kalau murid datang lambat. Tak boleh dibayangkan apa hukuman yang bakal menanti. Tak usahlah bayangkan ketuk ketampi atau pumping. Kalau nasib tak baik, Dato’ suruh julang tayar kereta api.

Warning System – Sistem Amaran Tubuh: Jika jari bergetar, berhenti dahulu. Kemudian baru teruskan perjalanan. Merupakan hasil amalan zikir (isim). Kesan zikir – kita boleh ramal perkara yang bakal berlaku, misalnya saat kematian dll. Juga boleh ramal bahaya yang datang menimpa. Petua Langkah Hang Tuah (Pagar Rakit dll.) digunakan semasa ingin berperang.

Jan de Jong belajar dengan Dato’ Meor dan beliau tulis rencana tentang Gayong dalam Australian Tribune, “Silat Seni Gayong: Super Art of Combat” (Keratan akhbarnya ada dalam simpanan Cikgu Saharuddin).

Silat Seni Gayong boleh diajar kepada orang bukan Islam, dengan syarat untuk tujuan dakwah. Ajar sehingga bengkung merah sahaja. Jika hendak lebih, kena peluk Islam. Di Perancis, 30 orang pesilat telah masuk Islam selepas dua tahun belajar silat.

Cikgu Ismail, sewaktu pergi ke Taiping, apabila sampai di rumah Dato’, akan berpura-pura sakit kaki, kononnya kerana terjatuh dari motosikal. Maka, terselamatlah beliau daripada menjadi mangsa belasahan Mahaguru.

Cikgu Majid tidak bersetuju Gayong dicampuradukkan dengan seni bela diri asing, terutamanya teknik tendangan tinggi dan tendangan chopping. Murid-murid beliau telah memfitnah Cikgu Majid. Dato’ termakan fitnah. Dato’ marahkan Cikgu Majid, kononnya Cikgu Majid makan duit dll.

Silibus Gayong mula diperkenalkan pada tahun 1968. tetapi disebabkan Peristiwa 13 Mei, 1969, silibus hanya diimplementasikan pada hujung tahun 1969/1970.